Jumaat, 15 Disember 2023 | 7:51am
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas memberi keterangan kepada polis, semalam. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas memberi keterangan kepada polis, semalam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kes gangguan seksual di Bintulu, Agus beri keterangan

KAJANG: Susulan laporan kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani pada 30 November lalu berhubung dakwaan gangguan seksual terhadapnya di Bintulu, polis semalam selesai ambil keterangan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff semalam.

Proses merakam keterangan Agus yang juga bekas Ketua Pengarah J-KOM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Difahamkan, proses rekod keterangan bermula kira-kira jam 11 pagi sebelum MPV Toyota Estima membawa Agus yang dipandu peguamnya Zaflee Pakwanteh dilihat meninggalkan perkarangan IPD Kajang pada jam 1.17 tengah hari.

Petugas media cuba mendapatkan komen Agus, namun beliau yang berada dalam kenderaan hanya melambaikan tangan, begitu juga Zaflee.

Terdahulu, BH melaporkan polis akan merekod keterangan Agus susulan dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap Abdul Wahab, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, pada Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM itu yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X