Khamis, 14 Disember 2023 | 3:00pm
Mohd Eddy Liman mengaku salah menceroboh stor kilang membuat kain berhampiran Kawasan Perindustrian Wawasan di Sri Gading, Batu Pahat, Johor. - NSTP/ALIAS ABD RANI
Mohd Eddy Liman mengaku salah menceroboh stor kilang membuat kain berhampiran Kawasan Perindustrian Wawasan di Sri Gading, Batu Pahat, Johor. - NSTP/ALIAS ABD RANI

Dah 5 kali masuk jel, Eddy kena hukum penjara lagi

BATU PAHAT: Seorang buruh binaan yang pernah menjalani hukuman penjara lebih lima kali, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menceroboh kilang di Jalan Kluang, Sri Gading, bulan lalu.

Mohd Eddy Liman, 37, yang dihadapkan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin mengaku salah menceroboh stor kilang membuat kain berhampiran Kawasan Perindustrian Wawasan di Sri Gading pada jam 9.30 malam, 10 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, dia yang masih bujang menceroboh kilang itu dan kemudian memasuki stor sebelum berjaya dikesan pengawal keselamatan kilang berkenaan yang menahan dan menyerahkannya kepada polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan turut menyerahkan rekod lampau tertuduh membabitkan beberapa kes seperti dadah, curi dan ceroboh.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa serta rayuan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh Mohd Eddy ditangkap 10 November lalu.

Berita Harian X