Khamis, 14 Disember 2023 | 2:04pm
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas memberi keterangan kepada polis, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas memberi keterangan kepada polis, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Dakwaan gangguan seksual, Agus beri keterangan dua jam kepada polis

KAJANG: Polis selesai merekod keterangan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, berkait dakwaan gangguan seksual.

Difahamkan, proses rekod keterangan bermula kira-kira jam 11 pagi tadi sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima membawa Mohammad Agus yang dipandu peguamnya, Zaflee Pakwanteh, dilihat meninggalkan perkarangan IPD Kajang pada jam 1.17 tengah hari.

Petugas media cuba mendapatkan respons Mohamamd Agus, namun beliau yang berada dalam kenderaan hanya melambaikan tangan, begitu juga Zaflee.

Terdahulu, BH melaporkan polis akan merekod keterangan Mohammad Agus susulan dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, pada Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM itu yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X