Rabu, 13 Disember 2023 | 11:41pm
Kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM 457 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Kawasan R&R Sungai Buloh, sebentar tadi. - Foto ihsan Bomba
Kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM 457 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Kawasan R&R Sungai Buloh, sebentar tadi. - Foto ihsan Bomba

Pemandu lori maut kemalangan babit 6 kenderaan di KM457 arah selatan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 457.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, sebentar tadi.

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu masing-masing sebuah lori bermuatan tiang konkrit, lori kontena, Perodua Myvi, Honda HRV, Honda City dan Nissan Almera.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 9.58 malam menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kemalangan menyebabkan pemandu lori membawa muatan tiang konkrit maut di tempat kejadian.

"Mangsa yang berusia 30-an tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.

"Anggota bomba sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayatnya akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Ahmad Mukhlis berkata kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta Honda HRV berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan ringan.

Berita Harian X