Selasa, 12 Disember 2023 | 2:31pm
Anggota polis forensik berdekatan tempat penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin, kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota polis forensik berdekatan tempat penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin, kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, hari ini. - Foto BERNAMA

Polis keringkan takungan tempat mayat Zayn Rayyan ditemui

PETALING JAYA: Siasatan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, hari ini diteruskan dengan kerja mengeringkan takungan air berhampiran tempat mayat ditemui.

Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh membantu polis melakukan kerja menyedut air.

Kerja mengepam air bermula sekitar jam 12.20 tengah hari dan pagi tadi, tetapi keadaan hujan lebat.

Proses mengeringkan takung terpaksa dihentikan sementara berikutan keadaan hujan lebat hampir dua jam.

Hari ini sudah masuk hari keenam siasatan dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan tugas di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.

Pasukan polis bersama Unit Forensik PDRM dipercayai dari Polis Kontinjen Selangor tiba kira-kira jam 11.45 pagi.

Mereka meneruskan siasatan bagi mencari bukti dan petunjuk baru yang boleh membantu siasatan kes itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira jam 10 malam pada 6 Disember lalu.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Berita Harian X