Selasa, 12 Disember 2023 | 12:02am
Kenderaan polis dilihat di sekitar kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat anak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, minggu lalu. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Kenderaan polis dilihat di sekitar kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat anak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, minggu lalu. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Polis periksa blok berhampiran mayat Zayn Rayyan ditemukan

PETALING JAYA: Polis hari ini melakukan pemeriksaan di beberapa unit kediaman di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, dipercayai bagi mencari petunjuk baharu dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata pemeriksaan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta Unit Forensik Bukit Aman.

Beliau berkata, unit rumah yang diperiksa terletak di blok berbeza dari blok kediaman keluarga mangsa di Blok R dan berhampiran tempat lokasi Zayn Rayyan ditemukan.

"Setakat ini, proses mengesan petunjuk baharu giat dilakukan dan belum ada suspek ditahan," katanya, hari ini.

Terdahulu, pasukan polis bersama Unit Forensik tiba di Apartmen Idaman pada jam 6.26 petang tadi sebelum dilihat meninggalkan lokasi jam 7.34 malam.

Mengulas tahap keselamatan di Apartmen Idaman ketika ini, Fakhrudin berkata, polis sentiasa membuat kawalan dan meminta penduduk tidak gusar.

Beliau berkata, pertemuan antara polis bersama penduduk akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan terkini keselamatan di kawasan berkenaan.

BH hari ini melaporkan polis memperoleh petunjuk siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan pada 6 Disember lalu yang menunjukkan kes dipercayai didalangi seorang suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, ia berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan ditemui di tubuh mangsa berusia enam tahun itu.

Berita Harian X