Isnin, 11 Disember 2023 | 6:19pm
 Keadaan rumah keluarga Muhammad Sufian yang musnah dalam kebakaran pagi tadi. Foto ihsan bomba
Keadaan rumah keluarga Muhammad Sufian yang musnah dalam kebakaran pagi tadi. Foto ihsan bomba

Rumah terbakar, keluarga nelayan tinggal sehelai sepinggang

PORT DICKSON: "Rumah yang saya tinggal bersama keluarga sejak kecil musnah terbakar. Api tiba-tiba marak di bahagian dapur dan kami tidak sempat menyelamatkan barangan kerana terus keluar rumah, bimbang terperangkap dalam rumah kayu yang terbakar itu," kata Muhammad Sufian Karnain Hassan, 20, dari Jeti Kelong Mahmud, Kampung Kuala Lukut, di sini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, Muhammad Sufian bersama ibu dan bapa serta dua adiknya kehilangan tempat tinggal dan kini sehelai sepinggang selepas rumah hangus sepenuhnya dijilat api.

"Kebakaran berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam) ketika saya yang bersama ayah, ibu dan dua adik berada di rumah melihat api tiba-tiba marak di bahagian dapur.

"Kami segera keluar kerana bimbang terperangkap dalam rumah diperbuat daripada kayu sepenuhnya itu. Tidak ada barangan rumah yang dapat diselamatkan, kami tinggal sehelai sepinggang, malah motosikal ayah jenis Suzuki Rider turut musnah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Sufian berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Port Dickson yang tiba cuba membantu memadam kebakaran, namun keadaan sukar kerana api cepat merebak.

"Walaupun saya dan keluarga hilang tempat tinggal, namun kami bersyukur terselamat dalam kejadian tidak disangka ini.

"Saya berharap keluarga kami yang bekerja sebagai nelayan dibantu dengan kediaman sementara, malah sekarang kami buntu kerana segala peralatan dan pakaian musnah terbakar," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Helmi Ayoub berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi sebelum bergerak ke lokasi kejadian sejauh 22 kilometer.

"Api dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Sepang yang tiba selepas itu," katanya.

Berita Harian X