Ahad, 10 Disember 2023 | 12:27pm

Suspek bunuh ibu bapa positif 3 jenis dadah

KUALA LUMPUR: Suspek yang membunuh ibu dan bapa kandung di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala di sini, malam tadi positif tiga jenis dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata ujian saringan air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

"Semakan juga mendapati suspek yang berusia 42 tahun mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

"Suspek juga baru dituduh atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 1 Disember sebelum diberi jaminan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di tempat kejadian menemukan beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Antaranya, mata pisau, dua hulu pisau, satu helmet, satu meja kayu bulat, batang kayu, serpihan kayu serta sepasang kasut hitam dipercayai milik suspek," katanya.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, pemeriksaan awal polis menemui beberapa kesan tikaman pada tubuh kedua-dua mangsa, namun belum dapat dipastikan punca kematian.

"Berikutan itu, kita masih menunggu keputusan bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) pada jam 10 pagi ini.

"Buat masa ini, kita belum dapat memastikan punca pertengkaran tiga beranak ini serta motif pembunuhan. Siasatan masih dijalankan, termasuk merakam keterangan saksi-saksi," katanya.

Allaudeen berkata, mangsa lelaki berusia 82 tahun ialah pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala isterinya yang berusia 72 tahun suri rumah.

Terdahulu, BH melaporkan pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dibunuh anak lelakinya malam tadi dengan mayat kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka di Sungai Penchala.

Sebelum kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 7.43 malam itu, suspek lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan bertengkar dengan ibu bapanya.

Selepas membunuh ibu bapanya, suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sebelum berjaya ditangkap kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Tempat kejadian bunuh di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur. - Foto BH/SADIQ SANI
Tempat kejadian bunuh di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur. - Foto BH/SADIQ SANI
Berita Harian X