Ahad, 10 Disember 2023 | 9:57am
Suasana pilu di sekitar Kampung Sungai Penchala apabila dua mayat ibu bapa ditemui telah ditikam oleh anaknya sendiri. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL
Suasana pilu di sekitar Kampung Sungai Penchala apabila dua mayat ibu bapa ditemui telah ditikam oleh anaknya sendiri. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL

Suspek kes bunuh ibu bapa ada 9 rekod jenayah dadah

KUALA LUMPUR: Lelaki berusia 42 tahun yang disyaki membunuh ibu dan bapanya di rumah mereka di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala, di sini awal malam tadi, mempunyai sembilan rekod kes jenayah berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata suspek yang melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas kejadian berjaya ditangkap kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

Beliau juga memaklumkan, polis menemukan kesan tikaman pada tubuh pasangan suami isteri warga tempatan itu, lelaki berusia 82 tahun dan isteri berusia 72 tahun.

Anggota polis mengeluarkan dua mayat ibu bapa yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL
Anggota polis mengeluarkan dua mayat ibu bapa yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL

"Terdahulu, polis menerima satu laporan kejadian pergaduhan membabitkan suspek dengan ibu bapanya pada jam 7.43 malam. Polis ke lokasi dan menemukan dua mangsa yang juga pasangan suami isteri dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah dipercayai dibunuh akibat ditikam.

"Berikutan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields melakukan gerakan memburu suspek.

"Suspek akhirnya berjaya ditangkap pada hari yang sama, kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur. Dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh dua jam 40 minit," katanya.

Berita Harian X