Ahad, 10 Disember 2023 | 8:57am
Anggota Unit Forensik PDRM meneruskan siasatan di tempat penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai. - Foto BERNAMA
Anggota Unit Forensik PDRM meneruskan siasatan di tempat penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai. - Foto BERNAMA

Polis belum dapat jejak pembunuh Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR: Polis belum dapat menjejak pembunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin kerana maklumat dikumpul sehingga semalam sangat terhad.

Keterangan dalam siasatan yang memasuki hari ketiga semalam belum memadai untuk membolehkan polis mengesan dan menahan suspek pembunuhan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasukan penyiasat bekerja keras untuk mengumpul lebih banyak maklumat yang boleh menjejak suspek.

"Kes ini bukan 'straight forward' (mudah). Keterangan yang ada terhad. Kita masih mengumpul maklumat termasuk menunggu keputusan analisis forensik daripada Jabatan Kimia.

"Menerusi hasil forensik itu nanti, diharap dapat memberikan 'clue' (petunjuk) bagi kita mengecilkan skop siasatan, seterusnya mengesan suspek," katanya.

Kelmarin, Hussein memaklumkan polis sudah menghantar beberapa barang kes, termasuk pakaian Zayn Rayyan kepada Jabatan Kimia bagi analisis forensik.

Katanya, polis berharap keputusan akan diperoleh tidak lama lagi bagi membantu mendapatkan butiran yang boleh menjurus ke arah mengenal pasti suspek.

"Ini bagi mendapatkan cap jari, DNA (asid deoksiribonukleik). Kita juga akan mulakan satu proses 'mass DNA screening' (saringan DNA beramai-ramai) yang boleh membantu polis dalam mengesan mereka yang terlibat," katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan 20 individu, termasuk ibu bapa mangsa dan lelaki yang menjumpai mayat Zayn Rayyan pada malam Rabu lalu.

Katanya, 16 keterangan dalam kalangan jiran dan penduduk di tempat kejadian serta kawasan berhampiran serta guru sekolah, manakala selebihnya adalah ibu bapa mangsa dan saksi.

"Usaha mengumpul maklumat menerusi pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah akan diteruskan. Setakat ini, kita selesai menjalankan proses itu terhadap tiga daripada 18 blok kediaman yang ada di Apartmen Idaman membabitkan 540 unit rumah," katanya.

Kawasan Apartmen Idaman yang menempatkan kediaman keluarga mangsa Zayn Rayyan, mempunyai 18 blok terdiri daripada 2,484 unit rumah serta kedai.

Semalam, selain gerakan dari rumah ke rumah, empat anjing dari Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman juga dikerahkan ke tempat kanak-kanak itu ditemui bagi mengesan, sekiranya ada sebarang petunjuk baharu.

Tempat penemuan mayat Zayn Rayyan dekat Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto BH/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tempat penemuan mayat Zayn Rayyan dekat Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto BH/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, turut hadir meninjau tempat siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid, berkata polis menumpukan siasatan dengan mengambil keterangan penduduk dan memeriksa tempat kejadian di Apartmen Idaman itu.

Beliau berkata, setiap maklumat yang diperoleh menerusi temu bual dan pemeriksaan lokasi akan diperinci sehinggalah polis menemui petunjuk jelas mengenai suspek.

"Kita melihat lagi untuk mendapatkan keterangan-keterangan berkaitan tempat kejadian itu dan kawasan sekitar untuk mendapatkan maklumat penduduk.

"Melalui keterangan itu, kita cuba mengecilkan dan memperinci siasatan dan seterusnya mengesan suspek," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis masih menunggu pemilik video kamera papan pemuka kenderaan di parkir di sekitar Apartment Idaman, untuk tampil membantu siasatan.

"Setakat ini, kita tidak boleh tahu berapa dashcam yang ada. Kalau dapat, kita akan sahkan. Penduduk setempat dan keluarga mangsa memberi kerjasama penuh sejak hari pertama lagi.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh tampil membantu polis mengukuhkan lagi siasatan, selain daripada penemuan saintifik dan keterangan awam yang boleh membawa kepada tangkapan suspek," katanya.

Unit Forensik Bukit Aman mengambil sampel DNA penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan. - Foto BERNAMA
Unit Forensik Bukit Aman mengambil sampel DNA penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan. - Foto BERNAMA

Berita Harian X