Sabtu, 9 Disember 2023 | 7:48pm
Anggota Unit Forensik PDRM melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai. - BERNAMA
Anggota Unit Forensik PDRM melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai. - BERNAMA

Pakaian Zayn Rayyan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis - Polis

PETALING JAYA: Pakaian dipakai kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ketika mayatnya ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengumpul maklumat dan mencari petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu.

"Maklumat diperoleh polis pada masa ini sangat terhad dan kami sedang bekerja keras mengumpul maklumat yang boleh membantu siasatan, selain menunggu keputusan analisis forensik daripada Jabatan Kimia," katanya.

Hussein berkata, sehingga kini polis sudah merakam keterangan 20 individu termasuk ibu bapa mangsa dan lelaki yang menjumpai mayat Zayn Rayyan, pada Rabu lalu.

Polis juga, katanya, mengumpulkan maklumat dari rumah ke rumah di tiga daripada 18 blok kediaman yang ada di kawasan perumahan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis tidak dapat mendedahkan hasil keseluruhan laporan hasil bedah siasat Zayn Rayyan kepada umum kerana ia mungkin mengganggu siasatan.

Beliau berkata, polis perlu menjaga kerahsiaan setiap maklumat yang diperoleh supaya satu siasatan yang telus dapat disiapkan.

"Namun apabila polis memperoleh maklumat yang boleh dikongsikan, sudah pasti Ketua Polis Selangor akan memaklumkannya," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Sebelum ini tular tangkap layar dimuat naik di laman TikTok memaparkan keadaan mayat Zayn Rayyan ketika ditemukan kumpulan penduduk yang membantu operasi mencarinya.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya keesokan jhari kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – BERNAMA

Berita Harian X