Jumaat, 8 Disember 2023 | 10:12pm
Zayn Rayyan dipercayai maut akibat dibunuh.
Zayn Rayyan dipercayai maut akibat dibunuh.

'Tiada kesan dera pada tubuh Zayn Rayyan' - Polis

PETALING JAYA: Hasil bedah siasat tidak menemukan sebarang unsur penderaan pada tubuh kanak-kanak autisme mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat semalam mendapati kecederaan dialami Zayn Rayyan bukanlah luka akibat penderaan.

Beliau berkata, ada pihak sebelum ini bertanyakan soal sama ada mangsa ini menjadi mangsa penderaan atau sebaliknya.

"Hasil bedah siasat sebelum ini mendapati tiada sebarang kecederaan yang menunjukkan mangsa ini didera.

"Saya melihat keluarga ini menjaga anak mereka dengan baik dan saya pasti sesiapa sahaja yang mengalami perkara sebegini akan sedih," katanya pada sidang media di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan tidak diketahui kesahihannya.

"Ambil kira perasaan keluarga dan perkara paling utama adalah hentikan daripada salahkan keluarga dalam perkara ini.

"Apa pun biar polis jalankan siasatan, saya beri jaminan polis akan lakukan yang terbaik sehingga suspek terlibat akan segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28 dan Zaim Ikhwan Zahari, 28. - BERNAMA
Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28 dan Zaim Ikhwan Zahari, 28. - BERNAMA

Semalam bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) menemukan kesan cedera pada leher dan tubuh Zayn Rayyan yang disyaki berpunca daripada perbuatan jenayah.

Berikutan itu, kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut diklasifikasikan semula sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH sebelum ini melaporkan Zayn Rayyan yang berusia enam tahun disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial serta laporan polis.

Namun, mangsa ditemui tidak bernyawa kira-kira jam 10 malam kelmarin dalam keadaan mengiring berhampiran kawasan air bertakung di sebuah anak sungai, kira-kira 200 meter daripada kediaman keluarganya di Blok R Apartmen Idaman.

Berita Harian X