Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:03pm
Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan. - NSTP
Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan. - NSTP

Saksi kes 1MDB nafi dakwaan 'berpakat' dengan SPRM

KUALA LUMPUR: Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan dakwaan peguam bela Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau 'berpakat' dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyediakan laporan jejak aliran wang ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, turut menafikan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa pegawai penyiasat SPRM menyuruhnya berbohong dengan menyatakan dalam laporan berkenaan, bahawa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berakhir dalam akaun bank peribadi Najib.

Ketika menjawab soalan Muhammad Shafee pada sesi pemeriksaan balas, saksi itu berkata, beliau 'dipinjamkan' ke SPRM bagi membantu agensi berkenaan untuk mengesan jejak wang syariat pelaburan strategik negara itu.

Apabila dicadangkan bahawa ia menyebabkan beliau bertindak berat sebelah dalam analisisnya, saksi hanya menjawab "saya tidak setuju."

Adam Ariff berulang kali menegaskan bahawa laporannya itu adalah saksama dan disokong oleh bukti.

Dalam keterangan sebelum ini, Adam Ariff memberitahu mahkamah, beliau diarahkan menilai 19 transaksi berjumlah RM2.282 bilion dalam dua akaun bank Najib yang berlaku antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dengan amaun serendah RM11,567.57 dan paling tinggi RM602 juta.

Katanya, ketika dipinjamkan kepada SPRM, beliau ditugaskan pegawai penyiasat, Superintendan Kanan Nur Aida Arifin, untuk membantu mengenal pasti dan mengesan kaitan antara dana dikumpul 1MDB dan wang yang diterima Najib.

Muhammad Shafee kemudian merujuk kepada terbitan dua bon berasingan oleh 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Ltd (1MEL) dan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada 2012 yang diatur Goldman Sachs International untuk mendapatkan modal tambahan bagi tujuan memperoleh aset tenaga.

Wang itu dipindahkan melalui Dana Pelaburan Cistenique dan Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF).

Dalam keterangan sebelum ini, saksi itu berkata, Blackstone Asia Real Estate Partners menggunakan dua dana berkenaan untuk memindahkan kira-kira AS$30 juta (RM140.01 juta) kepada Najib melalui akaun AmPrivate Banking miliknya.

Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikawal ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali Jho Low melalui rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Muhammad Shafee kemudian mempersoalkan bahawa dokumen tertentu yang dikaitkan dengan dana pelaburan terbabit tidak dikemukakan di mahkamah.

Adam Ariff bagaimanapun menegaskan beliau mempunyai dokumen berkenaan, namun tidak memasukkan dalam laporannya kerana menggunakan budi bicaranya untuk memasukkan hanya dokumen penting dan berkaitan.

Menurut saksi, beliau tidak mempunyai masalah mengemukakan dokumen itu kepada mahkamah dan menjelaskan tanggungjawabnya dalam menyediakan laporan itu adalah untuk membantu pegawai penyiasat SPRM

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mencadangkan saksi cuba menyembunyikannya, kerana semua dokumen yang diteliti dan diperiksa saksi perlu melalui mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meredakan suasana dan menyatakan mungkin saksi tidak menyedari masalah proses dokumentasi mahkamah, dan meminta supaya peguam memasukkan isu berkenaan dalam hujahannya nanti.

Adam Ariff kemudian berkata, beliau tidak 'risau' mengenai perkara ditimbulkan (berhubung isu dokumen), kerana boleh mencapai kesimpulannya bahawa dana itu boleh dikesan daripada terbitan bon 1MDB dalam analisisnya.

Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung 15 Disember depan.

Berita Harian X