Khamis, 7 Disember 2023 | 2:59pm
Anggota Bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Changlun, dekat Kampung Ibol di Kodiang. - Foto ihsan Bomba
Anggota Bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Changlun, dekat Kampung Ibol di Kodiang. - Foto ihsan Bomba

2 remaja melecur, 12 kenderaan babitkan motosikal dan kereta terbakar

KODIANG: Dua remaja lelaki melecur tahap tiga dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Changlun, dekat Kampung Ibol di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi itu turut menyebabkan dua kereta jenis Proton Satria Neo dan Perodua Kancil, selain 10 motosikal terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam dibantu BBP Jitra dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah setingkat yang membabitkan kemusnahan 90 peratus, manakala dua kereta dan 10 buah motosikal turut terbakar.

"Dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun melecur tahap tiga dan dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Setakat ini punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X