Rabu, 6 Disember 2023 | 1:27pm
SPRM menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi menyatakan pihaknya tidak berhasrat meneruskan permohonannya bagi penzahiran dokumen terhadap peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman masing-masing.
SPRM menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi menyatakan pihaknya tidak berhasrat meneruskan permohonannya bagi penzahiran dokumen terhadap peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman masing-masing.

Mahkamah batalkan permohonan SPRM dapatkan dokumen dua peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua peguam masih diteruskan walaupun agensi itu menarik balik permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada mereka.

Dokumen yang diminta SPRM daripada kedua-dua responden adalah berhubung penyelesaian antara Kerajaan Malaysia dan AmBank serta bank pelaburan antarabangsa Goldman Sachs berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Agensi itu memohon mendapatkan dokumen berkenaan daripada peguam Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan dan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership yang dinamakan sebagai responden, yang difailkan berasingan.

Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, Hakim Datuk Muhammad Jamil Bin Hussin dan K Muniandy membatalkan permohonan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumat bahawa SPRM tidak berhasrat meneruskan dengan permohonannya.

Muniandy turut membenarkan permohonan M Puravelan yang mewakili Rosli Dahlan Saravana Partnership supaya semua dokumen kausa membabitkan firma guaman itu tidak boleh diakses kepada awam.

Mahadi kemudian bagaimanapun memberitahu mahkamah, pada peringkat ini agensi terbabit masih meneruskan siasatan terhadap kedua-dua peguam terbabit.

Bagaimanapun katanya pihaknya tidak perlu mendedahkan pada peringkat mana siasatan itu itu sudah berlangsung. Dalam prosiding itu, Chetan dan firma guamannya diwakili peguam Teh See Khoon.

Dalam permohonannya, agensi itu memohon responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Chetan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan pelantikan Rosli sebagai peguam 1MDB.

SPRM juga memohon untuk mendapatkan dokumen penyata akaun dan akaun dua firma guaman berkenaan yang diperlukan bagi mengenal pasti pelantikan kedua-dua responden dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Media sebelum ini melaporkan firma guaman Rosli Dahlan Saravana mewakili 1MDB manakala Chetan CJ & Co bertindak bagi pihak Goldman Sachs dalam penyelesaian itu.

Dalam afidavit kedua-dua permohonan itu, Pegawai Penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif berkata siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Rosli memohon untuk membatalkan permohonan SPRM itu pada 3 November lalu, dengan memohon antara lain agensi itu membayar ganti rugi punitif dan teladan kerana menyalahgunakan proses mahkamah dan memfitnah dengan menamakannya sebagai responden.

Berita Harian X