Isnin, 4 Disember 2023 | 3:33pm
SPRM menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi menyatakan pihaknya tidak berhasrat meneruskan permohonannya bagi penzahiran dokumen terhadap peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman masing-masing
SPRM menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi menyatakan pihaknya tidak berhasrat meneruskan permohonannya bagi penzahiran dokumen terhadap peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman masing-masing

SPRM mahu tarik balik permohonan dapatkan dokumen berkaitan 1MDB

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan meneruskan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada dua peguam berkaitan proses penyelesaian antara Kerajaan Malaysia, AmBank dan Goldman Sachs membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dinyatakan SPRM melalui dua surat bertarikh 29 November lalu yang dikemukakan ke Mahkamah Tinggi, menyatakan agensi itu berhasrat untuk tidak meneruskan permohonannya bagi penzahiran dokumen terhadap peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman masing-masing.

Perkara itu disahkan sumber ketika dihubungi media, yang menyatakan Mahkamah Tinggi di sini menetapkan pada 6 Disember ini bagi pengurusan kes untuk kedua-dua kes berkenaan, selain melapangkan tarikh pendengaran 17 Januari ini bagi permohonan Rosli untuk membatalkan penzahiran dokumen itu.

SPRM selaku pemohon memfailkan dua permohonan terbabit secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Chetan dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.

Dalam permohonannya, agensi itu memohon kedua-dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Chetan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan pelantikan Rosli sebagai peguam 1MDB.

SPRM juga memohon untuk mendapatkan dokumen penyata akaun dan akaun dua firma guaman berkenaan yang diperlukan bagi mengenal pasti pelantikan kedua-dua responden dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Dalam afidavit kedua-dua permohonan itu, Pegawai Penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif berkata siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Rosli memohon untuk membatalkan permohonan SPRM itu pada 3 November lalu, dengan memohon antara lain agensi itu membayar ganti rugi punitif dan teladan kerana menyalahgunakan proses mahkamah dan memfitnah dengan menamakannya sebagai responden.

Berita Harian X