Isnin, 4 Disember 2023 | 10:53am
Pasukan Unit Forensik PDRM melakukan siasatan di kedai emas di Jalan Langgar yang disamun seorang lelaki semalam. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pasukan Unit Forensik PDRM melakukan siasatan di kedai emas di Jalan Langgar yang disamun seorang lelaki semalam. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Penyamun kata 'hai' sebelum larikan barangan kemas RM178,000

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang bergerak solo dengan bersenjatakan 'Pump Gun' dan sebilah kapak melarikan barang kemas bernilai RM178,000 ketika menyamun sebuah kedai emas di Jalan Langgar, di sini semalam.

Suspek dipercayai sempat menyapa 'hai' kepada seorang pekerja wanita dalam kedai berkenaan sebelum mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata Pusat Kawalan Daerah Kota Setar menerima panggilan daripada pengadu dipercayai anak pemilik kedai emas berkenaan pada jam 5.10 petang semalam yang memaklumkan kedai emas terbabit disamun.

Pengadu memaklumkan suspek bersenjatakan senapang dan sebilah kapak.

"Siasatan mendapati, suspek datang seorang diri dan masuk ke dalam kedai emas itu dan berkata "hai" kepada pekerja wanita terbabit.

"Suspek dipercayai berbadan gempal dan tinggi lebih kurang 170 sentimeter yang memakai helmet warna putih, baju jaket warna biru dan seluar panjang hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton.

"Selepas itu suspek meletakkan beg di atas lantai lalu membuka beg kemudian mengeluarkan senjata jenis 'pump gun' dan mengacu terlebih dahulu ke arah pekerja wanita berkenaan," katanya dihubungi hari ini.

Syed Basri berkata, suspek yang memakai sarung tangan dan mengeluarkan kapak daripada beg lalu memecahkan cermin pameran emas beberapa kali sehingga pecah.

Suspek berjaya mengambil barang kemas daripada meja pameran sebanyak dua dulang yang berisi 32 utas rantai emas berharga anggaran RM178,000.

"Suspek memasukkan barang kemas ke dalam beg dan terus melarikan diri ke arah kiri kedai.

"Ketika kejadian berlaku, tiada pelanggan dan hanya seorang pekerja wanita dan seorang wanita dipercayai pengurus kedai serta lelaki iaitu anak kepada pemilik kedai," katanya.

Berita Harian X