Ahad, 3 Disember 2023 | 6:19pm

Hasrat timang anak sulung tak kesampaian, wanita hamil dan ibu maut kemalangan

ALOR SETAR: Hasrat seorang wanita menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian selepas dia maut bersama ibu kandungnya dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kolon, Pokok Sena, pagi tadi.

Nadzifah Abu Seman, 28, yang kini hamil lima bulan bersama ibunya, Romadiah Ismail, 65, disahkan maut selepas Perodua Bezza dinaiki mereka dirempuh sebuah lori tanah dalam kemalangan yang turut membabitkan dua lagi kenderaan kira-kira jam 9.55 pagi tadi.

Suami mangsa, Ismail Mohamad, 28, berkata dia dan isteri sangat teruja untuk menyambut kelahiran anak sulung yang dijangka lahir April tahun depan selepas Nadzifah keguguran tahun lalu.

"Apa pun saya redha dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan isteri dan ibu mentua dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Mengulas kejadian itu, katanya, ketika kejadian Nadzifah dalam perjalanan untuk melawat kakaknya di sebuah pusat perubatan swasta di pusat bandar dengan ditemani ibu.

"Sepatutnya saya hantar mereka sana, tetapi arwah isterinya bimbang menyusahkan dan beritahu akan memandu sendiri ke sana menggunakan Perodua Bezza milik kakaknya.

"Sebelum ni tak ada masalah mereka pergi berdua, namun masa di tempat kerja tadi ada rakan hantar video kemalangan kereta dan lori yang tular di media sosial.

"Bila nampak Perodua Bezza biru dalam video tu, saya mula cemas dan cuba hubungi isteri dua kali tetapi tidak dijawab. Hati saya bertambah bimbang apabila kakak menghubunginya memaklumkan isteri dan ibu mentua tidak sampai lagi di pusat perubatan berkenaan," katanya sebelum terus ke lokasi kemalangan dengan menaiki motosikal.

Sebaik sampai, Ismail berkata dia terus bertanya kepada polis sebelum dimaklumkan dua wanita meninggal dunia, namun waris belum dimaklumkan.

"Saya tidak ingat nombor pendaftaran Perodua Bezza itu, namun selepas dimaklumkan kakak ipar baru saya pasti yang isteri dan ibu mentua terbabit kemalangan itu," katanya yang bekerja sebagai penghantar barangan di Pokok Sena.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati, lori tanah terbabit dipercayai datang dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena, manakala tiga kenderaan lagi dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit membrek untuk mengelak motosikal yang memasuki hadapan laluan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

"Lori terbabit kemudian melanggar Perodua Bezza di lorong kanan laluan bertentangan, sebelum melintang dan terbalik, menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia dan sebuah Toyota Hilux," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ismail Mohamad menunjukkan gambar terakhirnya bersama arwah isteri, Nadzifah Abu Seman, 28, yang hamil anak sulung di Kuala Perlis semalam sebelum maut dalam kemalangan bersama ibu mentuanya di Jalan Kolon, Pokok Sena hari ini NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Ismail Mohamad menunjukkan gambar terakhirnya bersama arwah isteri, Nadzifah Abu Seman, 28, yang hamil anak sulung di Kuala Perlis semalam sebelum maut dalam kemalangan bersama ibu mentuanya di Jalan Kolon, Pokok Sena hari ini NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X