Jumaat, 1 Disember 2023 | 2:38pm
Tangkap layar akaun hafidzah mempunyai lebih RM400 juta. - Tangkap layar HAFIDZAH ABDULLAH/LinkedIn/The Straits Times/ANN
Tangkap layar akaun hafidzah mempunyai lebih RM400 juta. - Tangkap layar HAFIDZAH ABDULLAH/LinkedIn/The Straits Times/ANN

Tiba-tiba dalam akaun bank ada RM404 juta

KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan Maybank terkejut apabila mendapati akaun banknya mempunyai lebih RM404 juta.

Pengarah dan Pengasas Bersama Forum HR Malaysia, Hafidzah Abdullah berkata, beliau menyedari bahawa dirinya tidak mungkin menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Bagaimanapun, katanya, kesilapan teknikal itu bukan membuatkan hidupnya bertambah senang, tetapi sebaliknya.

Katanya, beliau tidak sangka perkara itu boleh terjadi dan memerlukan menyelesaikan masalah untuk mendapatkan semula akses terhadap akaun banknya itu.

"Saya hargai kejadian ini dan menganggap ia adalah pengalaman perbankan yang tidak dapat dilupakan, namun saya rasa masalah ini akan menjadi lebih berpanjangan sekiranya tidak diselesaikan segera.

"Mesti ada yang fikir saya mendapat loteri? Itu tidak benar. Ia adalah gangguan sistem," katanya dalam perkongsian di LinkIn miliknya.

Menurut Hafidzah, kejadian berkenaan menyebabkan pihak Maybank menyekat akaun miliknya tanpa sebarang makluman, menghantar mesej atau memberitahu perkara berkenaan melalui cara lain.

Jelas Hafidzah, dia terpaksa pergi ke cawangan Maybank terdekat untuk mengaktifkan semula akaunnya.

"Mereka (pihak bank) kata wang tidak boleh membeli kebahagiaan, tetapi Maybank tahu bagaimana untuk membeli kekecewaan," katanya.

"Saya terpaksa berdepan dengan gangguan perbankan selama tiga hari dalam tempoh pembayaran gaji dan saya menganggap perkara itu bukan situasi yang kelakar.

"Akaun peribadi saya disekat, akaun syarikat tidak boleh digunakan dan memeriksa akaun bank (Maybank) sudah menjadi rutin harian saya," katanya.

Naib Presiden Eksekutif Maybank, Shaikh Munir Ahmad ketika mengulas dalam ruang komen di LinkIn milik Hafidzah, beliau meminta Hafidzah untuk menghubungi pihaknya supaya pihak bank boleh membuat susulan berhubung kejadian berkenaan.

"Sudah tentu perkara terbabit akan diperiksa dan diselesaikan untuk anda (Hafidzah Abdullah)," katanya.

Difahamkan pihak Maybank hari ini sudah menyelesaikan kes terbabit dan menyatakan sehingga kini tiada data pelanggan terjejas.

Berita Harian X