Rabu, 29 November 2023 | 11:02pm
Mayat mangsa serangan harimau di Kampung Kuala Tol, Gua Musang dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat petang tadi. - Foto ihsan PDRM
Mayat mangsa serangan harimau di Kampung Kuala Tol, Gua Musang dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat petang tadi. - Foto ihsan PDRM

Pekerja ladang mati disyaki dibaham harimau di Gua Musang

GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki tidak sempurna ditemui berhampiran sebuah motosikal di sebuah ladang getah dekat sini, hari ini, dipercayai menjadi mangsa serangan harimau.

Mayat Syabaini, 36, seorang warga Indonesia ditemui di Ladang Getah Kampung Kuala Tol tanpa tangan kanan selain cedera di leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 1.30 tengahari daripada seorang pemilik ladang yang mengesyaki dia dibaham harimau.

Katanya, satu gerakan operasi mencari dan menyelamat ke atas mangsa dilancarkan sejurus selepas itu membabitkan polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta penduduk setempat.

"Hasil operasi kira-kira satu jam di tempat kejadian menemui mangsa lebih kurang 200 meter dari lokasi motosikal miliknya ditemui.

"Mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan tidak sempurna di kawasan cerun di dalam hutan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Choon Foo berkata mayat mangsa dibawa keluar pasukan SAR jam 6.16 petang dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pada 7 petang untuk proses bedah siasat.

Katanya, PERHILITAN akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan haiwan liar terbabit.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes di klasifikasikan sebagai mati mengejut. Kita menasihatkan masyarakat setempat yang keluar berkerja supaya begerak secara berkumpulan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Berita Harian X