Rabu, 29 November 2023 | 7:55pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. - Foto fail NSTP

Wahab sudah beri keterangan kepada polis - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudih Husain mengesahkan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani sudah memberi keterangan kepada pihaknya hari ini.

Katanya, rakaman keterangan Abdul Wahab diambil bermula jam 10.50 pagi tadi oleh pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan proses berkenaan berikutan siasatan masih berjalan.

"Keterangan (Abdul) Wahab telah dirakamkan pada jam 10.50 pagi, itu sahaja nak sahkan," katanya ringkas kepada BH di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Abdul Wahab yang terpalit kontroversi video perbualan barbaur lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mengesahkan identiti Mr H kepada pihak polis, ketika proses rakam keterangan siang tadi.

Peguam mewakilinya, Faizal Rahman berkata, Abdul Wahab memberi keterangan kepada pihak polis bermula jam 11 pagi sehingga 2.30 petang tadi.

"Kita mengesahkan orang sama (Mr H) iaitu seorang pegawai di JKOM, pada saya ianya sudah selesai, jadi kita serahkan kepada polis.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini Abdul Wahab cuma perlu tampil memberi pengesahan identiti Mr H," katanya ketika ditemui di Bukit Aman di sini hari ini.

Faizal juga mengesahkan, kesihatan anak guamnya itu juga masih tidak stabil dan begantung kepada ubat.

Katanya, Abdul Wahab sepatutnya membuat laporan polis berkenaan video yang tular itu pada petang ini, namun terpaksa ditunda berikutan keadaan kesihatannya.

Sebelum ini, Abdul Wahab dilaporkan mengalami kemurungan melampau dan menerima rawatan.

Berikutan itu, proses rakam keterangan beliau yang sepatutnya dijadualkan diadakan lebih awal, terpaksa dijadualkan semula pada hari ini.

Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berbaur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.

Susulan itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.

Razarudin sebelum ini mengesahkan individu yang dikenali sebagai Mr H selesai diambil keterangan pada 23 November lalu.

Selain Abdul Wahab dan Mr H, polis turut merakam keterangan Mohammad Agus dan Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berita Harian X