Rabu, 29 November 2023 | 8:02am

Wahab didenda RM5,000 buat tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU: Bekas pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPPK) didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen semalam selepas mengaku bersalah mengemukakan borang tuntutan bantuan banjir mengandungi butiran palsu.

Tertuduh, Abdul Wahab Idris, 64, turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Azhar Othman selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Wahab didakwa menipu pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan memperakui dan menandatangani borang pengesahan daftar nama.

Senarai nama itu berkait bantuan bencana banjir dengan tertuduh menyenaraikan nama anak kandungnya bagi mendapatkan bantuan wang ihsan (BWI) meskipun tidak layak menerima bantuan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di daerah Dungun pada April 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md.

Abdul Wahab (tengah) didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mengemukakan borang bantuan banjir mengandungi butiran palsu. NSTP/ Ghazali Kori
Abdul Wahab (tengah) didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mengemukakan borang bantuan banjir mengandungi butiran palsu. NSTP/ Ghazali Kori
Berita Harian X