Isnin, 27 November 2023 | 3:55pm
Laporan BH Online pada 24 November lalu mengenai empat beradik ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, Ipoh.
Laporan BH Online pada 24 November lalu mengenai empat beradik ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, Ipoh.

4 beradik ditinggalkan di pondok pengawal bukan mangsa dera

IPOH: Tiada kesan penderaan ditemukan pada empat beradik berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun yang ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata keputusan berkenaan berdasarkan laporan kesihatan dikemukakan pakar perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas memeriksa empat beradik yang ditemukan pada Khamis lalu itu.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya kanak-kanak itu boleh ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak seliaan jabatan berkenaan.

"Berdasarkan laporan kesihatan, tiada sebarang kesan dera dan keempat-empat beradik ini masih berada di hospital bagi pemantauan lanjut. JKM sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya kanak-kanak ini boleh ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar.

"JKM juga mengesahkan tiada ahli keluarga tampil setakat ini, termasuk yang mendakwa sebagai nenek mereka seperti dilaporkan media sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri, di sini hari ini.

Empat beradik berkenaan membabitkan tiga lelaki, masing-masing berkenaan dan dua abangnya berusia tiga serta 11 tahun dan seorang perempuan berusia enam tahun, ditemukan di kompleks berkenaan, kira-kira jam 10.50 pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah, dipetik berkata semua mangsa ditinggalkan di hadapan pondok pengawal keselamatan kompleks berkenaan oleh seorang perempuan tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Toyota.

"Kanak-kanak berumur 11 tahun mendakwa mereka dihalau dari rumah di Kampung Kuchai, Bota di Parit oleh nenek," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Salbiah berkata, JKM juga dalam usaha mengesan ibu bapa bayi lelaki yang ditemukan dalam beg di tepi longkang di belakang sebuah kedai di Ayer Tawar, Manjung, kelmarin.

Berita Harian X