Sabtu, 25 November 2023 | 5:11pm
Anggota bomba memadamkan kebakaran stor penyimpanan cat di sebuah kilang di Jalan Kulim-Baling yang menyebabkan dua pekerja melecur. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran stor penyimpanan cat di sebuah kilang di Jalan Kulim-Baling yang menyebabkan dua pekerja melecur. - Foto ihsan Bomba

2 lelaki cedera stor penyimpanan cat terbakar

KULIM: Dua lelaki melecur tahap tiga selepas stor penyimpanan cat di sebuah kilang di Jalan Kulim-Baling di sini terbakar, hari ini.

Kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pekerja di premis itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, sepasukan 12 anggota dari BBP Kulim Hi-Tech dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 8.55 pagi.

Turut bergegas ke lokasi sepasukan anggota BBP Kulim dan Pasukan Bomba Sekarela (PBS).

"Kebakaran membabitkan stor penyimpanan cat kelas A dalam kawasan kilang.

"Ketika api sedang marak, dua lelaki dipercayai berada di kawasan itu mengalami kecederaan dan melecur tahap tiga," katanya melalui kenyataan.

Azmir berkata, anggaran kemusnahan stor adalah 80 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 9.23 pagi.

Setakat ini punca serta kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.

Berita Harian X