Jumaat, 24 November 2023 | 8:12am
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

Video Agus: Mr H selesai beri keterangan di lokasi tak didedahkan

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan individu yang dikenali sebagai 'Mr H' berkait dengan siasatan kes video perbualan mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selesai diambil keterangan semalam.

Tanpa mendedahkan masa dan tempat 'Mr H' dipanggil, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu berkenaan hadir pagi semalam.

Selain itu, beliau juga meminta Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tampil membantu siasatan dan membuat laporan polis berhubung kes itu.

Razarudin berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras, semalam.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes gangguan seksual membabitkan ketua pengarah sebuah agensi keselamatan, Razarudin berkata polis telah selesai mengambil keterangan daripada pegawai kanan penguat kuasa terbabit.

"Akan ada dua atau tiga lagi saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial paparan laporan polis seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pegawai tinggi kerajaan agensi keselamatan bergelar Datuk sejak tahun lalu.

Wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan itu mendakwa pertemuannya dengan individu terbabit pada November lepas adalah berkaitan cadangan pelaburan dan kewangan.

Sejak pertemuan kali pertama itu, individu terbabit didakwa telah mengganggu mangsa menerusi perbualan dan kandungan gambar serta video lucah. - BERNAMA

Berita Harian X