Khamis, 23 November 2023 | 6:54pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (empat, kiri, barisan hadapan) bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena Bulan Integriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (empat, kiri, barisan hadapan) bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena Bulan Integriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA

Identiti `Mr H' dikenalpasti, beri keterangan kepada polis hari ini

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan individu dikenali sebagai `Mr H' berkait dengan siasatan kes video perbualan mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selesai diambil keterangan pada hari ini.

Tanpa mendedahkan masa dan tempat `Mr H' dipanggil, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata individu berkenaan hadir sejak pagi tadi.

Selain itu, beliau juga meminta Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tampil membantu siasatan dan membuat laporan polis berhubung kes itu.

Razarudin berkata demikian selepas ditemui pemberita di Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lalu di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes gangguan seksual membabitkan ketua pengarah sebuah agensi keselamatan, Razarudin berkata polis sudah selesai mengambil keterangan daripada pegawai kanan penguat kuasa berkenaan.

"Akan ada dua atau tiga lagi saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial paparan laporan polis seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pegawai tinggi kerajaan agensi keselamatan bergelar Datuk sejak tahun lalu.

Wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan itu mendakwa pertemuannya dengan individu terbabit pada November lalu adalah berkaitan cadangan pelaburan dan kewangan.

Sejak pertemuan kali pertama itu, individu terbabit didakwa mengganggu mangsa menerusi perbualan dan kandungan gambar serta video lucah.

- BERNAMA

Berita Harian X