Khamis, 23 November 2023 | 5:15pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kanan) dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tiga kiri) bersama mangsa ketika sidang media media mengenai penipuan pakej umrah sebuah syarikat di Sungai Besi, Kuala Lumpur. NSTP/Hairul Anuar Rahim
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kanan) dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tiga kiri) bersama mangsa ketika sidang media media mengenai penipuan pakej umrah sebuah syarikat di Sungai Besi, Kuala Lumpur. NSTP/Hairul Anuar Rahim

MHO gesa PDRM siasat syarikat perdaya 123 mangsa pakej umrah

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan atas kesalahan jenayah terhadap sebuah syarikat yang disyaki memperdayakan 123 mangsa penipuan pakej umrah membabitkan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata syarikat penganjur pakej umrah itu dikesan melakukan jenayah penipuan Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan jenayah pecah amanah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atas mangsa yang membeli pakej umrah yang ditawarkan syarikat.

"Syarikat mengiklankan tawaran pakej umrah ini di pelbagai platform media sosial. Pelanggan yang berminat telah menghubungi syarikat itu dan diminta hadir ke pejabat urusan mereka untuk urus niaga jual beli pakej yang ditawarkan.

"Apabila hampir waktu untuk menunaikan umrah, perancangan umrah mereka telah dibatalkan dengan pelbagai alasan. Syarikat juga menabur pelbagai janji untuk memulangkan semula pembayaran dan mengatur semula pakej yang ditempah pelanggan," katanya pada sidang media di Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Hishamuddin berkata, sehingga kini sebarang tuntutan belum dipenuhi oleh syarikat berkenaan walaupun telah menerima perintah award Tribunal melalui Tribunal Tuntutan Pengguna.

Katanya, keingkaran syarikat ke atas award yang diberikan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna kepada mangsa adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau berkata, antara Mac hingga Oktober lalu, mangsa sudah membuat laporan polis tetapi mereka diminta merujuk kes kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Mangsa maklum MOTAC berkuasa untuk mengarahkan syarikat supaya mengembalikan wang bayaran dan membatalkan lesen syarikat pelancongan syarikat itu. Bagaimanapun, mangsa mahukan tindakan jenayah dikenakan ke atas syarikat berkenaan kerana perbuatan syarikat yang telah menipu dan memperdayakan mangsa.

"Ada sebahagian daripada mangsa menerima pengembalian wang dalam bentuk cek `post dated'. Namun begitu, ketika mangsa ingin tunaikan cek berkenaan, pihak bank memaklumkan bahawa pembayaran ke atas cek itu telah diberhentikan," katanya.

Hishamuddin juga meminta pihak polis serta pihak berkuasa berkaitan supaya menyiasat ke mana perginya wang tempahan pakej umrah mangsa.

"Sebahagian besar daripada mangsa telah melakukan pembayaran penuh kepada pihak syarikat umrah ini. Mangsa juga meminta pihak polis untuk menyiasat aliran wang tempahan digunakan bagi tujuan apa?" katanya.

Sementara itu, mangsa, Sadiaah A Majid, 55, berkata sebelum ini mangsa tidak berani untuk mengatakan diri mereka ditipu.

"Kami sangat berhati-hati dalam berkata-kata kerana ada antara jemaah yang telah disaman oleh syarikat ini.

"Kami rasa pelik kenapa tidak ada pihak berkuasa yang boleh membela kami. Kami sudah laporkan kepada semua pihak berkuasa. Kami kecewa rasa seolah-olah tidak dibela. Ada di antara mangsa sudah berkumpul di lapangan terbang tetapi penerbangan dibatalkan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Che Roni Mat berkata, dia sudah menempah pakej umrah sejak 2019 untuk sembilan ahli keluarganya.

Berita Harian X