Rabu, 22 November 2023 | 9:19pm

Satu keluarga berdepan detik cemas, rumah dipecah masuk enam lelaki bersenjata

NILAI: Satu keluarga di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini, berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki enam lelaki yang bersenjatakan parang, sabit dan pistol, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa diminta diam sebelum suspek mengikat tangan serta kaki mangsa lalu melarikan wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM40,000.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 32 tahun pada 8.12 pagi.

"Berdasarkan laporan, lelaki itu yang sedang tidur di dalam bilik utama di rumah bersama isteri dan anak-anak tiba-tiba didatangi enam lelaki yang mengacukan parang ke arah mereka.

"Kesemua suspek memakai topeng muka dan dipercayai memasuki rumah mangsa melalui salah satu pintu," katanya hari ini.

Beliau berkata, pengadu dan keluarga tidak dicederakan namun suspek hanya melarikan wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan lebih kurang sejumlah RM40,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X