Rabu, 22 November 2023 | 8:50pm
Radmar Jul (kiri) dan Jumardin Mahmud dikawal anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan,hari ini. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman
Radmar Jul (kiri) dan Jumardin Mahmud dikawal anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan,hari ini. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

2 lelaki mengaku salah 'scam' dalam talian

SANDAKAN: Mahkamah Majistret 2 di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,000 ke atas dua lelaki tempatan yang mengaku bersalah terbabit aktiviti penipuan dalam talian menggunakan akaun bank individu lain untuk menerima dan memindah wang hasil jenayah berkenaan.

Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo turut memerintahkan Jumardin Mahmud, 22, dan dan Radmar Jul, 23, yang didakwa mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan, menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda ditetapkan.

Dua lelaki itu, masing-masing ditahan pada 11 dan 12 November lalu selepas disyaki terbabit aktiviti jenayah, iaitu mengedar, membeli dan menyewa kad mesin ATM untuk digunakan dalam jenayah penipuan. Sebaik ditahan, tiga telefon bimbit, tiga kad ATM dan wang tunai RM15,000 turut dirampas daripada mereka.

Di mahkamah sama, Radmar turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 22 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah selepas gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan tiga kad ATM yang dirampas. Dia mengaku bersalah dan dikenakan denda RM100 atau lima hari penjara bagi setiap pertuduhan.

Di Mahkamah Majistret 1, lelakis ama sekali lagi dituduh mengikut Seksyen 22 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan wang tunai berjumlah keseluruhan RM15,000 yang dirampas semasa tangkapan.

Majistret Nur Faezah Jafry kemudian mengenakan hukuman denda RM100 atau dua hari penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Sze Chuen, manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X