Rabu, 22 November 2023 | 3:27pm
Mohammad Agus diiringi peguamnya, selepas memberi keterangan di IPD Kajang, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Mohammad Agus diiringi peguamnya, selepas memberi keterangan di IPD Kajang, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Polis ambil keterangan Mr H petang ini

KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima laporan daripada pembantu pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berkaitan video perbualan lucah dikaitkan dengannya.

Pada masa sama, pegawai penyiasan akan merakam percakapan individu dikenali Mr H petang ini, bagi membantu siasatan kes panggilan video lucah tular dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wabab.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata keterangan Mr H akan diambil di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, jam 5.30 petang ini.

"Setakat jam 2 petang hari ini, tiada laporan polis yang diterima daripada Abdul Wahab.

"Seramai tiga saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa saksi lain akan diambil keterangan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan," katanya pada BH, hari ini.

Media melaporkan Abdul Wahab mendakwa diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Katanya, dia merakam perbualan video berkenaan, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee, pula dilaporkan menegaskan kepada BH beliau bukan Mr H.

Muhamad Hakim menafikan dakwaan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa beliau ialah Mr H, selain menyifatkan tuduhan itu sangat berniat jahat.

Beliau juga mengakui masih menganggotai PKR, namun enggan mendedahkan perincian lanjut berhubung perkara itu.

Kelmarin, Mohammad Agus mendedahkan identiti 'Mr H' dalam keterangan kepada polis, selain membuat satu lagi laporan berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Sebelum ini, polis menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Abdul Wahab pada sidang media di Bangi berhubung satu rakaman video perbualan lucah dengan Mohammad Agus. - Foto BH/AZHAR RAMLI
Abdul Wahab pada sidang media di Bangi berhubung satu rakaman video perbualan lucah dengan Mohammad Agus. - Foto BH/AZHAR RAMLI

Berita Harian X