Selasa, 21 November 2023 | 6:31pm
Polis membuat pengungsian di sebuah sekolah swasta di Johor berikutan e-mel ancaman bom yang diterima hari ini. - Foto polis
Polis membuat pengungsian di sebuah sekolah swasta di Johor berikutan e-mel ancaman bom yang diterima hari ini. - Foto polis

'TAKTSTORER' hantar e-mel ancaman bom ke 19 sekolah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu membabitkan 19 sekolah di enam negeri di Semenanjung, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata 19 sekolah itu adalah sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya, tujuh laporan polis diterima di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

"Siasatan mendapati ancaman itu dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama 'takstorer' daripada bahasa Jerman yang bermaksud 'pengganggu ketenteraman' menggunakan penyedia perkhidmatan e-mel 'beeble.com'.

"Sebaik dimaklumkan mengenai penerimaan e-mel ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah-sekolah yang terbabit segera mengambil tindakan mengosongkan semua premis sekolah yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, demi keselamatan guru dan pelajar, pengungsian (evacuation) pelajar ke lokasi selamat dijalankan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Semua mereka diarahkan ke lokasi berkumpul (assembly points) seperti ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang.

"Tindakan security flushing (pembersihan keselamatan) bom dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan," katanya.

Tambah Razarudin, siasatan mendapati e-mel ancaman yang diterima itu adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.

"Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat e-mel yang digunakan bagi menghantar ancaman itu didapati baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.

"Kandungan asal e-mel ancaman adalah dalam Bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemah," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

Mengulas lanjut, Razarudin berkata kandungan e-mel yang sama dikesan turut pernah dihantar ke 70 sekolah di Jamaica pada 12 November lalu, juga melalui penyedia perkhidmatan e-mel yang sama.

"Siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica.

"Kejadian ini dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya," katanya.

Razarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain.

"PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal.

"PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara. Siasatan menyeluruh terus dijalankan berhubung perkara ini," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan sembilan sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang menerima ancaman bom, pagi tadi.

Dua sekolah antarabangsa di Pulau Pinang dilaporkan turut menerima ancaman bom menerusi e-mel, hari ini.

Berita Harian X