Selasa, 21 November 2023 | 1:52pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Polis akan panggil Mr H, Wahab diminta tampil bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu dikenali Mr H susulan pendedahan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.

Dalam pada itu, Razarudin menggesa pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani segera tampil membantu siasatan ini.

"Setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Abdul Wahab berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya. Ada beberapa individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.

"Kita (polis) juga jalankan siasatan berhubung perkara itu," katanya.

Media semalam melaporkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memaklumkan sudah mendedahkan identiti Mr H kepada pihak polis.

Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan lucah miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.

"Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan. Saya juga sudah mendedahkan siapa Mr H untuk siasatan pihak polis," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja yang dipercayai terbabit termasuk 'Mr H' dan Wahab secepat mungkin.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus.

Rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan individu tertentu dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Abdul Wahab dilapor berkata, rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X