Isnin, 20 November 2023 | 11:01pm
Mohammad Agus memberi keterangan di IPD Kajang, hari ini. - Foto BH/FATHIL ASRI
Mohammad Agus memberi keterangan di IPD Kajang, hari ini. - Foto BH/FATHIL ASRI

Perbualan lucah: Polis rakam percakapan Agus, Chegubard

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam percakapan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan aktivis Badrul Hisham Shaharin @ Chegu Bard, hari ini, berhubung siasatan kes panggilan video lucah yang tular.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata proses merakam percakapan itu dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan kes ini dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada masa ini, kes masih dalam peringkat siasatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuat penularan semula rakaman video itu.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pengguna media sosial yang menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang," katanya.

Mohammad Agus dipanggil untuk proses rakaman percakapan untuk kali kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada jam 2 petang tadi.

Rakaman percakapan kali pertama terhadap Agus dijalankan pada Jumaat lalu, selepas dia membuat laporan polis berhubung rakaman video diubah suai atau diedit yang didakwanya sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kreadibilitinya sebagai Ketua Pengarah J-KOM.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya juga akan memanggil Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, yang mengesahkan dirinya individu yang berbual bersama Mohammad Agus dalam video berkenaan untuk proses rakaman percakapan.

Mohammad Agus (tengah) hadir bersama peguam memberi keterangan di IPD Kajang. - Foto BERNAMA
Mohammad Agus (tengah) hadir bersama peguam memberi keterangan di IPD Kajang. - Foto BERNAMA

Berita Harian X