Isnin, 20 November 2023 | 4:44pm

Mangsa penipuan tuntut polis segerakan siasatan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kerugian RM1.3 juta akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan patuh syariah memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan.

Pesara, Abdul Fatah Yassin, 64, bersama isterinya mengeluarkan simpanan mereka dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur dalam skim berkenaan pada 2019.

"Kami tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan yang diperkenalkan oleh seorang ejen pelaburan yang sudah lama dikenali. Saya labur sebanyak RM960,000 dan isteri labur RM360,000.

"Pada tahun pertama, tiada masalah dalam pembayaran dividen, namun selepas COVID-19 melanda negara, pembayaran mula tergendala sehinggalah sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, hari ini.

Abdul Fatah berkata, beliau bersetuju menyertai pelaburan itu selepas segala dokumen yang ditunjukkan berkenaan pelaburan itu kelihatan asli dan sahih, namun tidak menyangka pelaburan itu sebenarnya satu penipuan.

Sehubungan itu, Abdul Fatah serta mangsa lain menuntut pihak berkuasa memberi perkembangan terkini siasatan dengan mereka diwakili Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menyerahkan surat permohonan kepada pihak JSJK.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata sejak isu didedahkan dan laporan polis dibuat oleh lebih 400 mangsa, pihaknya tidak menerima sebarang perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa.

Justeru, katanya, beliau mewakili mangsa yang semakin resah untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan berhubung kes itu, termasuk tangkapan dan kertas siasatan telah dihantar pada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita mahu maklum balas daripada pihak polis, sama ada kertas siasatan itu telah lengkap atau ia dapat disegerakan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Ini kerana kerugian ditanggung mangsa bukan sedikit hingga ratusan juta dalam pelaburan yang ditawarkan skim ini yang mana pengerusi pengarah bukan eksekutif dalam kalangan individu ternama dalam institusi perbankan," katanya.

Terdahulu, MHO mewakili kira-kira 100 mangsa menghantar permohonan representasi perkembangan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Hishamuddin berkata, setakat ini pihaknya menerima 500 aduan daripada mangsa skim pelaburan terbabit membabitkan kerugian kira-kira RM140 juta dan percaya masih lagi ramai mangsa yang tidak membuat laporan.

Katanya, sebagai tambahan MHO bersama sebahagian mangsa menyerahkan surat permohonan perkembangan semasa mengikut Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah bagi menuntut perkembangan terkini siasatan kes berkenaan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim (tengah) bersama antara mangsa yang terbabit selepas menyerahkan permohonan berkenaan dengan kes skim pelaburan yang meragukan ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim (tengah) bersama antara mangsa yang terbabit selepas menyerahkan permohonan berkenaan dengan kes skim pelaburan yang meragukan ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Berita Harian X