MIRI: Seorang pesara lesap kira-kira setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu pada mulanya berkenalan dengan wanita bernama Xin Alice Yu berasal dari Australia melalui aplikasi Linked In pada Mac lalu, sebelum berhubung melalui Whatsapp.
Katanya, suspek kemudian mengajak mangsa menyertai pelaburan mata wang digital seperti Bitcoin dan Ethereum.
"Sepanjang urusan pelaburan, mangsa perlu berhubung dengan khidmat pelanggan di laman sesawang sebelum memasukkan wang digital ke dalam akaun yang diberikan suspek.
"Mangsa melakukan 19 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah kira-kira RM500,000 ke sembilan akaun berbeza antara awal April sehingga awal Julai lalu bagi memasukkan wang digital ke dalam akaun pelaburannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang dari akaun mata wang digital miliknya.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.