KUALA LUMPUR: Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, yang dijadualkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, esok tetap akan diadakan.
Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, Hilman Idham, mendakwa perhimpunan itu tetap akan diadakan sebagai tanda semangat cintakan negara demi melawan korupsi.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan integriti dan melawan korupsi untuk turun bersama, pakai bahu putih dan bawa bendera Malaysia sebagai tanda semangat cintakan negara.
"Dalam himpunan ini kami akan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan seperti mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya kepada BH, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkata, dua lagi tuntutan adalah meminta kerajaan membebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan menuntut undang-undang yang adil untuk semua rakyat.
Ketika ditanya mengapakah himpunan berkenaan diadakan pada Hari Malaysia, 16 September, Hilman berkata, sambutan Hari Malaysia perlu diwarnai dengan penuh semangat perpaduan dan kesatuan rakyat untuk melawan rasuah dan korupsi.
"Rasuah adalah musuh nombor satu negara dan kita tidak mahu berkompromi dengan rasuah.
"Justeru perpaduan rakyat untuk melawan rasuah adalah asasnya dan bukan perpaduan bersama perasuah seperti yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini," katanya.
Katanya, pihak sekretariat yang terdiri daripada Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan berusaha memastikan perhimpunan berkenaan yang bermula selepas solat Zuhur, berlangsung dengan penuh tertib dan aman.
Sebelum ini Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia menyatakan perhimpunan dihadiri Pemimpin Parti Politik PN, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang menentang rasuah serta mencintai negara.
Semalam, penyelaras himpunan itu yang juga aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, ditahan berhubung enam laporan polis terhadapnya.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan bahawa tangkapan berkenaan tiada kaitan dengan perhimpunan yang dijadualkan esok.
Chegu Bard kemudian dibebaskan pada jam 2.15 pagi tadi selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.