BALING: Seorang wanita berusia 22 tahun berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Bayu, Asam Jawa, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz, berkata mangsa, Nur Aliyana Naiza Abdul Halim, diselamatkan dalam kejadian kepala air yang berlaku jam 4.30 petang.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota APM Baling bersama dua ambulans bergegas ke lokasi untuk membantu mangsa sejurus menerima panggilan pada jam 4.55 petang.
Katanya, kejadian kepala air itu berlaku akibat hujan berterusan di kawasan itu hari ini.
"Mangsa dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kemudian dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Kesempatan cuti umum sempena Hari Kebangsaan hari ini menyebabkan ada pengunjung yang datang ke pusat rekreasi itu untuk beriadah.