Isnin, 31 Julai 2023 | 2:17pm

Polis rampas syabu bernilai RM2.5 juta

IPOH: Dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat lebih 72 kilogram (kg) dengan nilai lebih RM2.5 juta, dirampas susulan penahanan empat lelaki dalam dua serbuan berbeza di sekitar bandaraya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dua suspek berumur 25 dan 36 tahun ditahan di kawasan perumahan Klebang Tropika, di sini dengan hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta menjumpai methamphetamine dianggarkan seberat 72.4kg bernilai RM2.53 juta.

Beliau berkata, penahanan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Daerah Ipoh pada jam 5 petang itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berumur 30 dan 40 tahun dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Rapat, yang dipercayai turut terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah itu.

Katanya, saringan awal air kencing ke atas empat suspek berkenaan mendapati hanya suspek berumr 30 tahun sahaja positif dadah jenis sama.

Kesemua suspek juga dikesan mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

"Berdasarkan siasatan, sindiket dipercayai mula aktif dengan pengedaran dadah sejak awal Mei lalu. Selain rampasan dadah, tindakan juga diambil dengan menyita dua kereta, sebuah motosikal, seutas rantai keemasan, dan sepasang subang keemasan dengan nilai sitaan harta RM74,267," katanya dalam sidang media itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, dua penjenayah berkenaan adalah penganggur manakala dua lagi bekerja masing-masing sebagai pengawal keselamatan dan pemandu lori.

Beliau berkata, dadah yang dirampas disyaki untuk edaran pasaran tempatan sekitar Perak dengan jumlah dadah itu mampu menampung permintaan dianggarkan seramai 145,000 penagih dadah.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran di Kawasan Klebang Ipoh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. NSTP/L.MANIMARAN
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran di Kawasan Klebang Ipoh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. NSTP/L.MANIMARAN
Berita Harian X