KUALA LUMPUR: Seramai 84 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi.
Ketika serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada jam 1.10 pagi, seramai 336 pelanggan berada di pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pusat hiburan itu didapati sering beroperasi dari jam 8 malam hingga jam 6 pagi setiap hari tanpa lesen pusat hiburan yang sah.
"Pusat hiburan yang mempunyai 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula dari RM3,800 hingga RM25,000 menyediakan khidmat GRO warga asing dan tempatan atas permintaan pelanggan mengikut kadar bayaran ditetapkan.
"Pihak polis turut menahan sembilan warga tempatan membabitkan pengurus premis, penjaga kaunter dan kerja premis berusia antara 31 hingga 45 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razarudin berkata pihaknya turut melakukan pemeriksaan air kencing terhadap kesemua 336 pelanggan, 30 GRO dan 46 pekerja premis dan mendapati enam pelanggan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
"Pasukan serbuan turut merampas resit jualan, minuman keras, resit bayaran GRO, peralatan muzik dan wang tunai RM13,862.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mana-mana pemilik premis hiburan sentiasa mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh penguat kuasa sekiranya ingin menjalankan perniagaan berbentuk hiburan.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya pengusaha pusat hiburan menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO warga asing, menjalankan aktiviti persundalan dan penjualan dan penggunaan dadah atau bahan terlarang dalam pusat hiburan mereka," katanya.