KUALA PENYU: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di tepi pantai Kampung Tanjung Aru Menumbok, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian yang berlaku pada petang 17 Julai lalu itu membabitkan mangsa warga tempatan berusia 17 tahun.
"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kini memasuki hari kedua pencarian yang dimulakan seawal jam 7 pagi.
"Pasukan bomba menjalankan operasi menggunakan sebuah bot milik JBPM dengan kaedah pencarian yang ditumpukan di permukaan laut.
"Radius pencarian sehingga dua kilometer (km) dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa belum ditemui.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.35 malam.
Sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu digerakkan ke lokasi sejauh 39 km bagi menjalankan operasi SAR.