Selasa, 11 Julai 2023 | 3:14pm

Ibu tunggal didakwa kutip deposit RM581,000 tanpa lesen

MELAKA: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan berasingan, menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah, berjumlah RM581,000 di antara Januari 2020 dan September 2021.

Tertuduh, Moryani Abdullah, 56, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dikemukakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3 di sini.

Bagi tuduhan pertama di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail, tertuduh didakwa menerima deposit RM249,500 daripada Fatimah Abdullah, 51, untuk tujuan pelaburan tanpa lesen sah yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Hang Tuah, di sini, antara 8 Januari 2020 hingga 26 Oktober 2020.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal, memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran serta pasport diserah untuk disimpan mahkamah hingga kes selesai.

Peguam bela, Andrew Lourdes, merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh seorang ibu tunggal yang kini tidak bekerja, mempunyai enam anak serta menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan masalah penglihatan.

Hujahnya, pembelaan juga berpandangan pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya adalah cacat kerana wujud satu perjanjian di antara pengadu dengan tertuduh dan berlaku pelanggaran perjanjian di antara mereka.

"Kami akan mengemukakan bantahan rasmi mengenai perkara ini," katanya

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 oleh seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan sebutan semula pada 11 Ogos ini.

Di Mahkamah Sesyen 3 pula, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM331,500 daripada pengadu sama yang dimasukkan ke akaun banknya antara 16 Februari 2021 hingga 24 September 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia dituduh mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 127(2) Akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, membantah jaminan atas alasan kesalahan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan RM20,000 jika mahkamah menggunakan bicara membenarkannya.

Hakim, Darmafikri Abu Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan sama.

Noryani (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima deposit wang RM581,000 untuk pelaburan tanpa lesen yang sah. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Noryani (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima deposit wang RM581,000 untuk pelaburan tanpa lesen yang sah. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X