SHAH ALAM: Polis merampas sejumlah 222 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM7.42 juta dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.
Dalam serbuan dua hari itu turut ditahan adalah tiga lelaki berusia 38 hingga 47 tahun yang bertugas sebagai pengedar dan penghantar (transporter).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek itu aktif sejak awal tahun ini dengan pasaran dadah untuk sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan pada jam 6 petang yang mana polis menyerbu sebuah rumah di Sepang dan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 47.8 kilogram dadah jenis Methamphetamine serta Ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.62 juta.
"Dalam operasi berasingan pada 6 Julai, polis menyerbu sebuah inap desa di Shah Alam pada jam 3.40 petang dan menahan dua lelaki berusia 38 dan 47 tahun.
"Hasil serbuan, kita merampas 174.2 kilogram dadah jenis Methamphetamine dan pil Yaba yang dianggarkan bernilai RM5.8 juta.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi ini adalah 222 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.42 juta," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita dua kenderaan masing-masing jenis Kia dan Toyota Hilux selain dua bentuk cincin serta seutas jam tangan dianggarkan RM87,705.
Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, dadah berkenaan disyaki diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan paket pembungkusan.
"Modus operandi mereka adalah menjadikan premis kediaman termasuk inap desa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan dalam pasaran," katanya.
Beliau turut menegaskan, sekiranya dadah itu terlepas dalam pasaran boleh digunakan lebih 1.1 juta penagih.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek ditangkap pula melibatkan dua sindiket berbeza dengan polis masih mengesan dalang sebenar.
"Polis juga masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek juga positif methamphetamine namun kesemua mereka tiada rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.