GEORGETOWN: Seorang suspek lelaki berusia 40 tahun yang ditahan kerana disyaki terbabit sindiket dadah, ditemukan maut dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai, di sini, hari ini.
Kematian suspek disedari pegawai yang bertugas kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata lelaki berkenaan adalah seorang daripada lima suspek yang ditahan semalam di sekitar Pulau Pinang dan Kedah kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, terdapat tiga lagi rakan tahanan dan mereka tidak menyedari kejadian kerana sedang tidur selepas makan.
"Kita sudah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek menggantung diri menggunakan bajunya.
"Polis juga tidak menemukan kesan jenayah pada badan suspek bagaimanapun kita akan teruskan siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM116,000 menerusi empat serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah, selama dua hari berakhir hari ini.
Dalam operasi terancang itu, seramai lima lelaki terbabit berusia antara 35 hingga 58 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Katanya, risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh diguna oleh seramai 50,000 penagih jika berjaya dipasarkan.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif pelbagai jenis dadah iaitu Methamphetamine, ketamin dan THC.
"Kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah serta direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan," katanya lagi.