MELAKA: Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya di Bukit Katil, pada Mac lalu selepas mangsa dapat tahu dia dimadukan.
Norazlan Md Ali, 60, membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Zaharah Mustapa, 58, di dalam kereta BMW XI di kawasan lampu isyarat di Bukit Katil pada 25 Mac lalu, kira-kira 5.30 petang.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa atau saksi kes.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai akauntan dan menanggung isteri serta enam anak.
Katanya, tujuan jaminan adalah memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh sebutan kes dan tidak wajar ditetapkan tinggi selain anak guamnnya juga kini tinggal berasingan dengan mangsa.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 20 Julai ini.
Difahamkan siasatan polis mendapati kejadian berpunca apabila isteri mendapat tahu suaminya berkahwin lagi secara rahsia yang menyebabkan berlaku pertengkaran hingga mangsa ditampar dan ditumbuk.