Isnin, 12 Jun 2023 | 11:32am
Anggota polis mengiringi tiga lelaki untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Butterworth di sini, bagi membantu siasatan seorang lelaki dengan kecederaan maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Seberang Jaya dalam kejadian awal pagi Sabtu. - Foto NSTP/Danial Saad
Anggota polis mengiringi tiga lelaki untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Butterworth di sini, bagi membantu siasatan seorang lelaki dengan kecederaan maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Seberang Jaya dalam kejadian awal pagi Sabtu. - Foto NSTP/Danial Saad

Tiga lelaki suspek kes bunuh ditahan polis

BUTTERWORTH: Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang lelaki warga asing yang maut akibat ditikam di bahagian perut dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata kesemua mereka ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari Bahagian Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), memaklumkan terdapat seorang pesakit lelaki berusia 33 tahun dibawa rakannya mengalami kecederaan kritikal.

Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman pada abdomen.

"Pada jam 10 malam hari sama, tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki iaitu majikan dan rakan sekerja mangsa berusia 28 hingga 40 tahun di dua lokasi berbeza di Butterworth dan Permatang Pauh yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

"Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek yang ditahan mengaku mencederakan mangsa semasa berada di tempat kejadian sebelum melarikan diri.

"Punca kejadian adalah berpunca daripada pertengkaran mulut di antara mangsa dan suspek yang kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, polis turut merampas telefon bimbit, pisau, dua botol minuman keras, seluar pendek dan baju T yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X