PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing dan teksi selepas menahan dua lelaki di Kelana Jaya dan Kota Damansara di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata tangkapan pertama membabitkan seorang pemandu teksi berusia 42 tahun jam 10.10 malam di Kelana Jaya.
"Suspek yang memandu sebuah teksi Proton Saga ditahan dan pemeriksaan dalam kenderaan menjumpai satu beg kain berwarna merah gelap, di bahagian penumpang hadapan.
"Pemeriksaan lanjut dalam beg menemui empat ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan kertas dan pita pelekat disyaki ganja dengan anggaran berat empat kilogram dianggarkan bernilai RM12,455," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Hasil soal siasat terhadap suspek, beliau berkata, polis menahan suspek kedua iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun pada jam 11.15 malam di sebuah kawasan di Kota Damansara di sini.
"Suspek kedua ini dipercayai dalang utama sindiket dan dadah dipercayai dibekalkan kepada pihak ketiga secara pukal dan dihantar menggunakan perkhidmatan teksi dan e-hailing.
"Pengangkutan awam seperti teksi dan kenderaan e-hailing digunakan sebagai medium penghantaran dengan satu kadar upah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata, modus operandi itu bertujuan mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan penghantaran itu seperti penghantaran barangan normal yang lain.
"Siasatan mendapati suspek pertama sudah terbabit dalam aktiviti pengedaran sejak tiga bulan lalu di sekitar Kelana Jaya dan Puchong manakala dalang utama aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu sekitar Kepong, Selayang dan Petaling Jaya.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain enam rekod lampau berkaitan dadah enam serta lima rekod jenayah, manakala suspek kedua negatif dadah dan tiada rekod lampau," katanya.
Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas sejumlah wang tunai, seutas rantai leher dan dua loket serta satu cincin dengan nilai keseluruhan RM6,800.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.