Khamis, 8 Jun 2023 | 6:28pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Kerana cinta, kontraktor lesap hampir RM100,000

KUANTAN: Seorang kontraktor di Cameron Highlands dakwa kerugian RM98,648 selepas terpedaya sindiket 'love scam' menerusi Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 39 tahun itu berkenalan dengan seorang individu, kononnya wanita dari luar negara pada tahun lalu.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan dia sudah berada di negara ini bersama wang Euro 81,000, tetapi ditahan pihak berkuasa bersama wang terbabit.

"Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang invidu, mendakwa peguam kepada suspek memaklumkan bahawa suspek ditangkap. Mangsa membuat 43 transaksi kepada 13 akaun berlainan dengan tujuan untuk membantu suspek.

"Berikutan itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM98,648 wang simpanannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan penyamaran dan 'love scam'.

"Jangan mudah terpedaya dengan janji manis dan buat semakan nombor akaun serta nombor telefon yang diterima terlebih dahulu di pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Berita Harian X