Selasa, 6 Jun 2023 | 9:30pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Lelaki pukul kepala pemandu wanita ditahan di Serdang, Selangor

TAPAH: Seorang penyelia kilang ditahan polis selepas menunjukkan isyarat lucah, memberikan kata-kata ugutan dan memukul kepala seorang pemandu wanita di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Tapah menerima laporan daripada mangsa berumur 24 tahun di Balai Polis Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 10 pagi tadi.

Katanya, susulan itu, siasatan polis dilakukan dan mendapati kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 5.33 petang semalam ketika mangsa bersama adik lelakinya berumur 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Hinglands ke Tapah.

"Kejadian berlaku selepas mangsa cuba memotong kereta PROTON Persona berwarna kelabu yang dipandu lelaki itu di hadapannya tetapi gagal.

"Pemandu lelaki itu dipercayai menunjukkan isyarat lucah dan turun daripada kenderaan ketika trafik agak sesak kemudian mengetuk cermin kereta mangsa berdekatan Pusat Peranginan Lata Iskandar.

"Apabila mangsa membuka cermin kereta, suspek terbabit dipercayai memarahi wanita itu dan memukul kepalanya, selain mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, hasil semakan nombor kenderaan dinaiki suspek mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Tanjong Karang, Selangor.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya mengesan suspek di sekitar Serdang, Selangor.

"Video berdurasi 59 saat itu juga turut dikesan melalui salah satu laman Facebook oleh IPD Tapah kira-kira jam 3.30 petang tadi.

"Suspek berumur 29 tahun yang juga penyelia kilang di Serdang kemudian dibawa ke IPD Tapah untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X