GEORGETOWN: Lapan individu termasuk empat wanita ditahan dalam lima serbuan berasingan ke atas beberapa premis yang disyaki dijadikan rumah urut di sekitar bandaraya ini, di sini, semalam.
Mereka yang berusia antara 23 hingga 60 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas dipercayai melakukan beberapa kesalahan termasuk menjalankan aktiviti persundalan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata dua serbuan pertama di premis berasingan di Lebuh Chulia membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang menjalankan kegiatan rumah urut tanpa lesen.
Katanya, serbuan ketiga ke atas sebuah rumah urut di Batu Feringghi pula berjaya menahan seorang lelaki tempatan atas kesalahan sama.
"Serbuan rumah urut seterusnya di Batu Feringghi, kita berjaya menahan seorang wanita warga asing kerana disyaki menjalankan aktiviti tanpa lesen selain gagal mengemukakan permit kerja yang sah.
"Serbuan terakhir yang dijalankan di rumah urut di Gelugor, di sini, berjaya menahan lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing kerana disyaki menjalankan aktiviti persundalan, selain salah guna pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja dan menggaji warga asing tanpa permit sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Soffian berkata sejumlah barangan turut dirampas dalam serbuan berkenaan iaitu tuala, telefon bimbit, tisu basah, minyak dan krim urut serta wang tunai berjumpah RM1,430.
Beliau berkata semakan lanjut kemudian mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 24 Undang-undang Kesalahan Kecil 1980 Pulau Pinang.
"Semua mereka ditahan di Lokap Berpusat Bayan Baru dan direman selama empat hari.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti persundalan boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-2181822," katanya.