PARIT BUNTAR: Seorang wanita warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman pada leher di sebuah rumah di Kampung Tersusun Lima, di sini, semalam.
Mangsa, 61, dikatakan ditemui jirannya dalam keadaan separuh bogel kira-kira jam 6.45 petang di dalam bilik di rumah terbabit, sebelum dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam serta dinding.
"Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.
"Terdapat juga kesan lebam pada lengan dipercayai akibat pergelutan dipercayai dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri," katanya melalui kenyataan.
Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa berikutan terdapat kesan umpil pada tingkap.
Bagaimanapun, katanya, tiada barang berharga milik mangsa hilang dan mangsa dikatakan tinggal sendirian di rumah berkenaan.
"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kesan luka tikaman pada leher," katanya mengesahkan motif sebenar kejadian masih disiasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.